Thursday, November 15, 2007


PERTANYAAN : LISAN

DARIPADA : IR. DR. WEE KA SIONG

TARIKH : 13.11.2007

YB Ir. Dr. Wee Ka Siong (Ayer Hitam) minta MENTERI KEWANGAN menyatakan status penggabungan (merger) bank bank tempatan di Malaysia. Apakah dasar Kerajaan mengenai pembukaan cawangan bank asing di negaa ini dalam era globalisasi dan apakah wujud cadangan bank Malaysia membuka cawangan di negara asing.

Jawapan:

Tuan Yang DiPertua,

1. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, sejak krisis kewangan pada tahun 1998, sistem perbankan telah bertambah kukuh dan berjaya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. Program penggabungan secara menyeluruh bagi sektor perbankan domestik yang dimulakan pada tahun 1999 telah berjaya menyatukan dan mengukuhkan daya tahan institusi perbankan domestik daripada 77 peserta kepada 10 kumpulan perbankan domestik dengan permodalan minimum sebanyak RM 2 bilion bagi setiap kumpulan.

2. Fleksibiliti yang dierikan kepada 10 kumpulan perbankan domestik bermula dari tahun 2003 bagi merasionalisasikan perniagaan perbankan perdagangan dan syarikat kewangannya menjadi satu entiti tunggal telah memudahkan penawaran pelbagai produk dan perkhidmatan kewangan di bawah satu bumbung untuk memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berbeza. Kumpulan perbankan juga dapat meraih manfaat melalui penggunaan sumber yang lebih berkesan dan penjimatan kos dan seterusnya meningkatkan tahap kecekapan mereka.

3. Penggabungan sembilan bank saudagar, sembilan syarikat broker saham, lima syarikat diskaun dan tiga broker universal untuk mewujudkan 12 bank pelaburan telah meningkatkan kapasiti dan keupayaan institusi kewangan domestik untuk menawarkan kepelbagaian aktiviti khidmat nasihat dan kewangan untuk memenuhi sektor korporat dengan lebih berkesan. Bank-bank pelaburan yang diwujudkan sejak awal tahun 2007 berada dalam kedudukan yang lebih kukuh untuk meraih manfaat daripada peluang perniagaan dalam negeri dan rantau yang berkembang.

4. Usaha penggabungan bagi sektor kewangan seterusnya bergantung pada kuasa pasaran, seperti mana yang disaksikan dalam penggabungan dua isntitusi perbankan domestik tahun lepas yang mengurangkan bilangan kumpulan perbankan domestik kepada sembilan. Bank Negara Malaysia terus memberikan sokongan terhadap cadangan penggabungan, sejajar dengan objektif untuk membangunkan insdustri perkhidmatan kewangan yang kukuh dan mampan, melalui penyertaan institusi-institusi yang berdaya saing, cekap, dinamik dan mampu untuk menyokong dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.

5. Pendekatan liberalisasi kewangan di Malaysia adalah secara beransur-ansur dan progresif. Proses liberalisasi secara berperingkat ini mengambil kira kesediaan dan keupayaan institusi perbankan tempatan untuk menyerap perubahan dan keupayaan bersaing dengan peserta asing, tahap pembangunan ekonomi dan kesan terhadap kestabilan sistem kewangan. Prinsip sudah termaktub dalam Pelan Induk Sektor Perbankan (PISK) dengan Bank Negara Malaysia akan memberikan pertimbangan untuk membenarkan institusi perbankan baru menubuhkan operasi di Malaysia dalam fasa ketiga proses pelaksanaan PISK, tertakluk kepada prasyarat tertentu. Pertimbangan ini akan mengambil kira antara lain, keperluan perkhidmatan kewangan bagi membentuk sistem kewangan yang komprehensif dan menumpukan perhatian pada bidang pertumbuhan yang baru, dengan kehadiran institusi asing dapat menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan membawa faedah yang ketara kepada negara.

6. Kerajaan menyokong langkah yang diambil oleh institusi perbankan Malaysia untuk mengukuhkan lagi aktiviti perbankan di rantau ini, sama ada menerusi perkongsian, pengambilalihan kepentingan ekuiti strategik atau pakatan dengan institusi kewangan asing di luar negeri untuk meraih peluang yang muncul hasil daripada pertumbuhan perdagangan antara rantau. Kini, lima kumpulan perbankan domestik Malaysia mempunyai kehadiran dalam bentuk cawangan, pejabat seranta, subsidiari atau usaha sama dalam 19 negara. Dengan ini, dijangkakan penglibatan perbankan domestik di rantau ini akan meningkat memandangkan pertumbuhan ekonomi yang mampan di negara-negara Asia terutamanya di rantau ini.

No comments: