Monday, December 3, 2007

Perbahasan Peruntukan 2008 Bagi Kementerian Pelajaran Malaysia

Ucapan oleh YB Dr. Wee Ka Siong semasa membahaskan Peruntukan 2008 bagi Kementerian Pelajaran Malaysia (Peringkat Jawatankuasa) di Dewan Rakyat pada 29.11.2007:


Terima kasih Tuan Pengerusi, saya terus kepada butiran 020300. Saya ingin mengutarakan satu isu di mana berlaku di kawasan saya iaitu Sekolah Kebangsaan Yong Peng. Saya dah berkali-kali di Dewan ini bercakap, pada 28 April itu dan berlaku di mana rusuk di dalam bilik darjah dan runtuh. Jadi sampai sekarang walaupun dijanjikan kos untuk memperbaiki RM 60 ribu, saya dah bawa kali kedua tak silap saya, sampai sekarang disebabkan sekolah ini adalah sekolah bantuan modal, saya hairanlah. Kalau kerajaan kita ini nak memperkasakan sekolah kebangsaan, kasihan anak-anak murid Melayu ini, 90% adalah pelajar Melayu. Kenapa pula disebabkan statusnya sebagai sekolah bantuan modal, ia tidak dijaga?
Di mana perginya slogan kita untuk memperkasakan sekolah kebangsaan?Jadi saya minta supaya perkara ini disegerakan. Cuma 35 hari lagi kita akan menghadapi satu sesi persekolahan akan datang. Jadi saya tidak tahulah tiga bilik darjah boleh diguna pakai ataupun tetap dibiarkan sahaja. Saya minta supaya tindakan segera dapat diambil.
Kedua, saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Menteri Pelajaran yang telah meluluskan perpindahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yong Peng 2. Seperti mana yang telah dijanjikan peruntukan sebanyak RM4.3 juta kepada sekolah ini dan ia akan dilaksanakan pada tahun depan. Saya berharap oleh sebab banyak projek sekolah, ada yang tertunggak, dan saya berharap sangatlah supaya kementerian ini pada awal tahun depan dapat menyegerakan permulaan ataupun memulakan pembinaan SJKC Yong Peng 2 ini supaya dapat memberi manfaat kepada masyarakat tempatan.
Satu perkara lagi yang telah disebut oleh rakan-rakan, saya tidak mengulanginya. Apa yang penting dalam dasar PPSMI, nampakanya respons dari masyarakat Cina, Melayu begitu hebat sekali. Mereka juga telah merayu kepada kerajaan supaya satu tindakan cepat diambil, untuk mengkaji semula keberkesanan PPSMI. Dalam konteks ini saya merayu kepada Kementerian Pelajaran, jangan kerana kita telah membuat satu keputusan dahulu, dan kini dalam peringkat kajian, kita takut untuk membuat keputusan.
Kalau sesuatu yang dibuat demi kebaikan anak-anak kita, saya rasa pengubahsuaian itu perlu dibuat dalam masa ini. Janganlah kita mengheret isu ini lama sangat kerana kita kena melihat keberkesanan PPSMI itu sendiri. Kita dah tahu untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris bukan sahaja menginggeriskan istilah Sains atau Matematik. Apa yang penting adalah untuk mempertingkatkan lagi mutu pembelajaran bahasa Inggeris itu sendiri.
Kita juga menghadapi masalah dari segi tenaga pengajar yang mahir dalam hal ini. Saya rasa kita perlu melakukan sesuatu, mesti ada satu anjakan paradigma dalam kes ini. Sata perkara lagi iaitu di bawah pendidikan menengah, saya juga merayu kepada pihak kementerian supaya melihat permohonan SMK iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Yong Peng sudah lama tertunggak. Saya pada mulanya mendapat surat daripada pembangunan negeri yang mengatakan RM 3.5 juta disediakan untuk bangunan ini tetapi sampai sekarang ianya tidak dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan. Saya pun hairan kenapa senarai yang saya dapat berlainan dengan apa yang ada dalam kementerian.
Saya rasa Sekolah Menengah Kebangsaan Yong Peng yang selama ini merupakan sekolah yang terunggul di Yong Peng, sepatutnya diberi perhatian serius kerana kita lihat sekolah-sekolah ini sebenarnya telah dijaga dengan baik, pagar ditukar kemudian dipercantik dan diperindah dengan pelbagai kemudahahan asas. Namun untuk Sekolah Menengah Kebangsaan Yong Peng ini ianya terlalu uzur. Saya berharap supaya cadangan mereka untuk membina bilik darjah dapat disegerakan kerana bilik darjah ini adalah satu asas dalam sistem persekolahan kita.
Akhir sekali, saya memang setuju dengan apa yang telah dikatakan oleh kawan kawan tadi tentang garis panduan pembayaran yuran. Walaupun kerajaan telah membuat keputusan pemansuhan yuran sekolah, tetapi apa yang nyata sekarang apabila kita melihat garis panduan itu yang dimansuhkan terlalu sedikit, yang dinaikkan begitu banyak. Jadi ada kerajaan betul-betul komited dalam hal ini? Kala kita komited keluarkan satu garis panduan kepada semua sekolah, supaya pemansuhan itu dalam erti sebenarnya memansuhkan dan tidak dengan cara meninggikan yuran yang lain, yuran MRSM dan sebagainya. Akhirnya ibu bapa itu menanggung bebanan yang lebih tinggi.
Saya rasa dalam konteks ini hasrat kerajaan itu kena sampai. Jangan satu hasrat yang baik itu akhirnya oleh sebab dengan satu kenaikan dalam aspek yang lain ianya dianggap sebagai tipu helah daripada kerajaan. Saya rasa ini adalah soalan yang penting. Sekian, terima kasih.

No comments: